Skip to main content

Ahli Nujum atau Wali yang Kashaf

Ada yang bertanya apa yang saya maksudkan bila saya menyatakan “saya tidak pernah meyakini Anwar sebagai seorang Ahli Nujum atau Wali”. Maksud saya mudah sahaja. Sekiranya saya menganggap beliau sebagai seorang Ahli Nujum yang handal atau Wali yang Kashaf dan pada tarikh 16hb September peristiwa yang diramalkan olehnya tidak tercapai, maka keyakinan saya terhadap beliau akan musnah. Tetapi, oleh kerana saya menganggap beliau seorang manusia biasa maka saya faham bahawa tarikh 16hb September hanya merupakan tarikh yang dianggap mungkin tercapai perubahan dan dijadikan tarikh sasaran. Sekiranya tidak tercapai sekalipun, ianya tidak merupakan masalah besar. Kegagalan untuk mencapai sesuatu yang disasarkan mungkin disebabkan tindak balas tertentu pihak lawan atau perkara-perkara lain dan ianya perkara biasa.

Anwar pun tak pernah mendakwa dirinya seorang Ahli Nujum ataupun Wali maka saya tak nampak apa masalahnya. Ada yang menghebohkan isu tarikh ini seolah-olah sekiranya ianya tidak tercapai maka terbukti Anwar penipu dan pembohong. Dakwaan itu benar sekiranya Anwar tidak berusaha ke arah tercapainya sasaran yang diinginkan. Sekiranya berusaha tetapi gagal, tidak bererti dia bohong, hanya dia gagal buat masa itu. Namun usaha pasti akan diteruskan dan kalau bukan 16hb mungkin 17 atau 18 atau 19 atau 30 September.

Tidak mencapai sasaran tidak boleh dikatakan berbohong. PAS sendiri banyak kali menyatakan akan mencapai kemenangan di sini dan di situ, siap dengan tema seperti PINTAS untuk Selangor dan sebagainya. Kita pernah menyatakan kita akan tawan Selangor pada 2004 tetapi gagal. Adakah bererti kita berbohong?

Gimik sahaja
Ada pula yang berkata ianya satu gimik. Bagi saya gimik ini bererti kata2 kosong tetapi sensasi. Saya rasa orang yang kata dan beranggapan begitu semestinya buta politik. Ataupun saja membutakan mata beliau kerana prejudis terhadap Anwar. Kalau gimik semata-mata mengapa perlunya 49 MP BN dilarikan? Tidakkah ini satu bukti bahawa apa yang disasarkan hampir tercapai sehingga perlu dipintas dengan begitu drastik sekali? Tindakan itu jelas merupakan satu pengakuan (bahawa MP2 BN terjejas dan tercabar pendirian mereka) dan semestinya diambil setelah mendapat maklumat risikan dan sebagainya. Bukan sekadar baca Blog. Risikan Polis (SB) dan Tentera serta risikan agensi2 lain dirujuk oleh Pak Lah dan tindakan gelabah dan memalukan ini diambil.

Tidakkah ini, bagi yang siuman membuktikan bahawa tarikh 16 Septembar itu bukan cakap2 kosong? Bahawa sudah bergerak usaha yang berkesan oleh mereka2 yang berusaha. Yang tak berusaha dan menjadi pengkritik sambilan memanglah tak tahu apa-apa. Sentiasa menunggu sahaja untuk mengutuk dan mengkritik. Itupun kalau kritikan yang adil takpe juga. Kalau adil pasti dia akan mengaku sememangnya ada usaha yang berkesan dan menjejaskan BN.

Mungkin mereka lebih percaya kepada Pak Lah yang mengatakan perginya MP2 tersebut takde kena mengena dengan 16hb September. Pak Lah cakap benar, Anwar berbohong anggap mereka. Kalau gitulah pandangan mereka, buat apa duduk dalam PAS dan PR? Ikut je lah orang yang bercakap benar itu! Sampai bila Pak Lah boleh ‘larikan’ mereka? Pepatah Inggeris berbunyi, “You can run but you cannot hide”.

PAS bukan keluar BN tetapi di’paksa’ keluar
Ada yang mengingatkan saya bahawa PAS bukan keluar BN tetapi di’paksa’ keluar! Ada yang merasa hanya sekadar beberapa tahun dan tak puas lagi menjawat jawatan Timbalan Menteri kata mereka.

Betullah tu, PAS di’paksa’ keluar melalui pengisytiharan Darurat di Kelantan yang berada di bawah PAS. Kalau dah diisytihar Darurat dan kerajaan Pusat mengambil alih negeri berkenaan, takkan tak tahu malu nak terus duduk bersama dalam kabinet? Terpaksalah PAS keluar.

Ini berlaku pada tahun 1978 dan pada PRU 1982 dan 1986 prestasi PAS begitu merudum. PAS hanya mampu menawan Kelantan kembali pada 1990 apabila berlakunya perbalahan dalam UMNO dan Semangat 46 ditubuhkan. Dua belas tahun PAS bergerak untuk memenang kembali kerajaan Kelantan. Begitu khianatnya sikap BN, dulu,kini dan selama-lamanya. Bila berkawan ditikam dari belakang.

PAS masuk BN membawa kerajaan Negeri Kelantan, di’paksa’ keluar dengan tangan yang kosong. Hanya saya tak nak sebut kasar2 sangat, takut yang teringin kembali bersama akan merana dan tak tidur malam. Dulu bersatu atas dasar ‘Perpaduan Melayu’ juga. Lepas dah bersatu dan duduk bersama selama 4 tahun, nampak gaya orang PAS tak lagi dianggap Melayu. Atau perpaduan sudah tidak penting dan PAS di’paksa’ keluar. Perpaduan hanya penting bila UMNO tercabar. Kalau tak tercabar, tenyeh orang Melayu Kelate pun takpe.

Tak ku sangka……ada orang tak serik dan teringin merasa sekali lagi!

Comments

ALI MAIDIN said…
Yang tua tu dah ingat-ingat lupa koy
Anonymous said…
Yang saya hormati, sesungguhnya manusia nie kadang-kadang lupa sejarah. Kalau lah pemimpin dalam UMNO masih lagi berperangai sebegini tak payah bermuqalbalah pun. Tak payah baca sejarah Melayu pun tak apa...baca saja cerita kanak-kanak bertajuk "Cerita Kerbau dengan Buaya yang Tersepit bawah kayu BALAK"
Anonymous said…
Inilah masalahnya sesetengah veteran dalam PAS, masih ada lagi yakin BN akan jalankan pilihanraya secara demokratik. Lihat apa terjadi dengan royalti minyak di Terengganu semasa PAS memerintah 1999-2004, takkan dah lupa. LPT juga telah disekat setakat negeri Pahang sahaja.

Saya rasa ada masalah dengan pimpinan PAS Terengganu, dalam keadaan Kelantan kembali kukuh dan berjaya menawan Kedah dengan selesa dalam PRU12, Terengganu kalah teruk!

Mustafa Ali seolah menikam PR dari belakang, apa agenda beliau?
Anonymous said…
YA buatmasa sekarang semua orang berkiblatkan anwar . Apa yang anwar kata itulah yang perlu dipertahankan . Kalau berbeza sikit maka disindir2 dan dihina . Apa kalau berbeza pandangan dengan anwar maka dikira cinta kepada badawi .. ?

sudahlah .. sekarang niepun nampaknya PAS juga lama kelamaan akan jadi seperti parti politik semata2 . Hanya kuasa ..kuasa..kuasa.

Setiap yang ALlah atur ada hikmahnya . Kalau bergelut ada padahnya .
Anonymous said…
Sama ada diakui atau tidak faktor Anwar telah merubah lanskap politik Malaysia, maka sokongan perlu diberi agar demokrasi semakin subur, andainya PAS terpaksa bersendiri kembali biarlah pada ketika proses pilihanraya benar-benar telus. Kita tak boleh mengharapkan BN untuk buat perubahan ke arah itu, maka cubaan menjatuhkan BN perlu disokong. Sukar difahami pada peringkat ini seolah-olah ada pihak di dalam PAS seperti ingin menyeberang ke BN. Mungkin inilah yang dinyatakan oleh TGNA ada pihak dalam PR yang sabotaj Anwar
Anonymous said…
Well said zamzuri, cuma kadang2 kita ni tak sedar diri dan ada perasaan iri hati sesama sendiri - itu yg masalah no1 kita sebenarnya. Kalau betul2 ikhlas nk tolong rakyat, tak kesah la sapa yg naik jadi PM asalkan dia org yg 'paling layak' dari berbagai sudut.
Suhaimi Said said…
Saya tidak fikir 916 satu kegagalan! Ia adalah permulaan kepada suatu hijrah yang besar!

Ia juga bermula dengan usaha yang kuat, dan sebagai permulaan 916 boleh diibaratkan sebagai suatu semangat perubahan.

Insya Allah perubahan akan berlaku.

Tidak ada sebab perubahan tidak boleh berlaku.

Negara ini sedang kucar-kacir; pimpinan UMNO berkecamuk sesama sendiri; Gerakan, PPP dan MCA sedang menghetung hari-harinya untuk bersama UMNO dalam BN.

Parti-parti di East Malaysia sedang memerhatikan. Mereka juga tidak mahu duduk dibawah payung UMNO yang tidak kukuh.

Mereka ada tuntutan mereka; pedalaman mereka mundur dan tidak ada infrasturktur jauh sekali pembangunan ekonomi.

Mereka tuntut royalti minyak 20-25%, apa mereka dapat?

916 adalah permulaan, ia akan berlaku dengan permulaan itu didalam tahun ini, dengan usaha gigih semua pihak didalam Pakatan Rakyat.

Usah gusar dengan penegur-penegur yang tidak berpijak dibumi nyata, mereka itu sudah tentu bukan orang PAS.

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.