Skip to main content

Madrasah Aqlaniyyah vs Hujjah-Hujjah Syariyyah

Ada pengunjung (mumayu) yang meletakkan artikel bertajuk seperti di atas di blog saya semasa memberi komen tulisan saya dlm isu 3M – Syarat yang dikenakan oleh PAS. Beliau meletakkan kata-kata penutup seperti berikut:- “Saya harap YB dapat fahami apa yg di maksudkan oleh Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi di atas… harap2 YB tidak tergolong dari mereka yg mendirikan madrasah tersebut”.

InsyaAllah saya tidak dari Madrasah itu. Dan inilah sebenarnya masalah dengan artikel2 yang seperti ini. Ia menyatakan golongan Madrasah Aqlaniyyah itu wujud, bergerak cergas, ‘beriramakan Islam’ dan 'dipelopori oleh sebahagian mereka yang pulang dari Barat'. Oleh kerana ianya tidak menyebut siapa dia orangnya yang dimaksudkan dan apakah ajaran yang dibawa, secara khusus, yang disifatkan sebagai Madrasah Aqlaniyyah, maka macam-macam andaian akan dibuat. Seterusnya akan berlaku pula tuduh-menuduh dan ahli jemaah dikotak-katikkan.

Itulah sebabnya saya lebih suka berterus-terang sahaja. Supaya kita tidak menimbulkan fitnah. Nyatakan secara jelas siapa yang kita maksudkan dan bentangkan hujjah-hujjah mengapa pendapat beliau dianggap sebagai sebahagian dari ajaran Madrasah Aqlaniyyah.

Seterusnya pihak yang dituduh itu boleh meniliti hujjah2 berkenaan dan memberi pandangan mengapa hujjah2 tersebut adalah salah atau sebaliknya. Sekiranya diterima kebenaran hujjah-hujjah tersebut, maka dia mengakui dia tersilap dan dia dapat membetulkan dirinya. Sekiranya tanggapan itu adalah salah maka pihak menuduh pula kena baca pula penjelasannya dan seterusnya.

Ini adalah lebih baik dari membuat kenyataan umum yang mana pihak yang dimaksudkan pun tak tahu dia yang dimaksudkan dan sebaliknya lebih buruk lagi ia boleh pula timbul kesangsian terhadap orang yang tidak dimaksudkan!

Sekiranya sayalah yang dimaksudkan, saya pun nak tahu pendapat saya yang mana satu dan mengapa. Mungkin orang yang beranggapan begitu pun tak faham apa yang saya maksudkan dan setelah dijelaskan didapati tiada pun pecanggahan dengan syariat. Cara ini saya yakin jauh lebih membina.

Kedua, soal akal. Kadang-kadang, disebabkan artikel yang seperti ini, pembaca menjadi keliru sehingga menganggap mengunakan akal adalah bercanggah dengan Islam. Kalau tak gunakan akal tuan2, nak gunakan apa? Takkan gunakan hidung untuk menghidu kebenaran hujjah! Akal yang dianugerahkan Allah adalah di antara pemberian Allah yang membantu manusia mengenal kebenaran Islam. Kita memahami isi kandung ayat2 Allah dengan menggunakan akal juga. Yang penting ialah jangan sehingga kita mengutamakan akal sehingga menolak hukum2 Allah.

Itulah sebabnya mengapa salah satu sifat Rasulullah adalah Fatanah iaitu bijaksana, pandai dan cerdas. ‘Bijaksana’, yang bermaksud mempunyai akal yang kelas pertama, adalah amat perlu supaya seseorang Muslim dapat memahami isi kandungan ayat2 Allah dan menentukan kaedah perlaksanaannya yang sebaik mungkin. Perkara ini teramat jelas dalam kes Hadith berhubung ‘Ijtihad’ yang dijelaskan melalui perbincangan Rasulullah dan Muaz bin Jabbal.

Saya tidak mempertuhankan akal tetapi saya tidak juga mengabaikannya. Apabila kita mendengar hujjah, walaupun dari seorang ‘alim, kita diminta menilainya dan jangan terima bulat-bulat. Perbahasan adalah baik kerana akan memantapkan lagi kefahaman. Orang Islam tidak dituntut ‘taqlid’ atau ikut membabi buta. Dan orang yang dipersoalkan, walaupun dia seorang ‘alim, seharusnya menerima persoalan dan perbahasan dengan hati terbuka. Ini adalah kerana perbahasan merupakan sebahagian dari proses mendidik dan bukankah ‘ulama’ ditugaskan untuk mendidik, bukan menuntut ketaatan membabi buta. Rasulullah (SAW) sendiri, dalam soal yang bukan hukum, berbincang dan bertukar pandangan dengan para sahabat Baginda. InsyaAllah sekiranya ada masa, saya akan menukilkan kisah-kisah sejarah di mana Rasulullah (SAW) sendiri membincang dan menerima pandangan para sahabat dan mengenepikan pendapat Baginda sendiri. Begitu juga para sahabat yang walaupun dikenali sebagai ‘ulama’ yang handal-handal belaka, pernah menerima teguran dan mengakui diri mereka tersilap. Pokoknya, mereka tidak menjawab bila disoal, “hoi budak, aku ni ulama’….!”

WaLlahu ‘Alam

Comments

Anonymous said…
Alhamdulillah.. syukran diatas maklum balas oleh YB..

Artikel itu berbentuk peringatan umum. Sekiranya YB tidak memberi respon pun, saya tetap berhusnu zhan bahawa YB bukan drpd golongan tersebut, bagi kami yang melihat artikel tersebut dari sudut atau kacamata mahasiswa adalah umum sebagai peringatan. supaya kalau betul ada golonagn seperti itu mereka akan sedar perkerjaan terkutuk mereka telah terpantau dan mereka harus sedar yg mereka sedang berada di posisi terlarang.

So mudah dan lagi baik tidak ditujukan khusus kerna di khuatiri "Memburu binatang perosak, akhirnya tertembak sedara sendiri..."

Ada perkara yang kita berhak berterus terang dan ada perkara yg perlu kita terus secara umum kerana dengan umum pun manpu menerangi dan sudah ada yg diterangi..

Sekadar berpandangan..

Mumayu
Khalid Samad said…
Saudaraku mumayu,
masalahnya artikel seperti ini menimbulkan fitnah. Ada yang akan mula menuduh si anu dan si anu dan sebagainya. Lebih2 lagi bila tidak diberikan secara detail apa itu yang dimaksudkan sebagai Madrasah Aqlaniyyah, prinsip2nya dan ajaran2nya. Kedua, saya rasa tak adil apabila orang kelulusan Barat yang disasarkan. Pembawa fahaman yang tak betul ramai, termasuk dari Timur Tengah. Atau adakah dianggap semua dari Timur Tengah betul? Ketiga, pemburu binatang perosak akan terus menganggap orang yang disyaki sebagi perosak. Kalau disyaki, lebih baik tembak je terus, kalau didapati sedara sendiri takpe. Sekurang-kurangnya dia tahu dia tersilap. Lagipun, peluru yang digunakan hanya peluru kapor. Tak mati punya.
Saya pernah lalui keadaan sebegini dulu, tahun 80an. Di sebut secara umum orang2 IRC lah, JIM lah dan disebut juga kelulusan UK. Ramai mensyaki saya juga dan suasana fitnah yang terhasil.Teori memang boleh cakap tetapi secara praktiknya, lain cerita.
Namun kalau nak terus membuat secara umum teruskan. Saya takde apa2.Selagi mana tak disebut saya, maka saya anggap bukan saya.
Anonymous said…
Ayahandaku YB Khalid,

Saya hormati pandangan YB, dari kacamata dan fikrah saya tetap berpendirian bahawa artikel tersebut mempunyai jalur2 peringatan untuk ahli beringat2 tentang kewujudan golongan tersebut..

Cara Pimpinan menjurus kpd warga Madrasah ini, saya juga berpandangan dan menganjurkan iaitu lebih baik dipertemukan 4 mata dan menyelesai secara dalaman tanpa perlu "pemburu binatang perosak akan terus menganggap orang yang disyaki sebagi perosak. Kalau disyaki, lebih baik tembak je terus, kalau didapati sedara sendiri takpe. Sekurang-kurangnya dia tahu dia tersilap. Lagipun, peluru yang digunakan hanya peluru kapor. Tak mati punya..." tidakkah tindakkan begini terburu-buru..? klu terkena tepat pada binatangnya tak mengapa.. tetapi sekiranya terkena sedara sendiri yg ikhlas dan murni isi hatinya bagaimana..?, memang lukanya tidak parah. tetapi pedih dihatinya tentu parah dan meninggalkan kenangan pahit yg berpanjangan.. tidak begitu YB..

"Saya rasa tak adil apabila orang kelulusan Barat yang disasarkan. Pembawa fahaman yang tak betul ramai, termasuk dari Timur Tengah. Atau adakah dianggap semua dari Timur Tengah betul?" kenyataan ini saya sependapat dengan ayahanda YB.. tidak semua dr barat salah dan tidak semua dari T.Tengah betul.. dalilnya, manusia biasa bukannya maksum..

"Saya pernah lalui keadaan sebegini dulu, tahun 80an. Di sebut secara umum orang2 IRC lah, JIM lah dan disebut juga kelulusan UK. Ramai mensyaki saya juga dan suasana fitnah yang terhasil.Teori memang boleh cakap tetapi secara praktiknya, lain cerita." lihat saja tuduhan terbuka meninggalkan kesan yg lama sejak zaman 80an malah menimbulkan fitnah... tuntasnya, cara yg terbaik bertemu empat mata..

"Namun kalau nak terus membuat secara umum teruskan. Saya takde apa2.Selagi mana tak disebut saya, maka saya anggap bukan saya." ini bukan tuduhan umum tapi satu peringatan untuk ahli beringat2, tetapi klu disebut nama secara detail tanpa bukti yg sahih maka saya juga akan sanggah artikel berbau busuk seperti itu..

Alhamdulillah, saya dari kacamata mahasiswa melihat dan berhusnu zhan bahawa ayahanda YB bukanlah dari golongan yg dimaksudkan. Untuk akhirnya seiring doa saya panjatkan buat ayahanda YB Khalid dan kesemua pimpinan agar ikhlas sebagai pejuang yg ingin melihat Islam bisa bertapak dengan perlembangaannya yg selesa di tahta yg selayaknya.

Asif jiddan, sekadar berpandangan.. wassalam.

Mumayu
Anonymous said…
Assalamualaikum wbt;

Saya ucapkan syabas kepada Tuan atas kesabaran melayan para pengunjung.

Bukan mudah menjadi seperti itu. Moga Allah terus memberikan kekuatan kepada Tuan.

Satu perkara yang saya rasa tidak perlu adalah kekerapan mumayu dan tuan berbalas pandangan.

Semacam tiada kesudahan.

Salam lebaran dan Salam maaf.
Anonymous said…
mumayu,

get a life. cuba reti bahasa.

makacih.
Anonymous said…
Mumayu,

Sudahla tu. Bila terima pandangan YB Khalid, katakan saja terima, tidak perlu lagi hujjah balas.
Tak perlu terlalu "berbangga" dengan "pandangan dari kacamata seorang mahasiswa" saudara tu, kami pun dulu mahasiswa, saya pun mahasiswa, jutaan lagi mahasiswa celik politik sekarang ni.

Syabas YB Khalid atas ketabahan saudara. Cara berfikiran YB mmg "kaum Engineer" kita mmg sama agaknya, cuma YB orang besar, saya orang kecil.

Sekian

Popular posts from this blog

Keadilan Saidina Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadah Agama Lain

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu. Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’ , tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim. “Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”. Tetapi Umar menolak cadangan

Video Tazkirah Ramadhan At-Taubah Ayat 31: Pendewaan Manusia

WaLlahu 'Alam   KHALID SAMAD

Kisah Raja Najashi

Semasa saya terlibat dalam usaha dakwah di UK satu ketika dahulu, kami mendapati bahawa ramai dari kalangan penganut Kristian tidak tahu bahawa Nabi Isa (AS) diiktiraf sebagai seorang Rasul oleh Islam. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan hampir kesemua para Nabi yang diiktiraf oleh agama Kristian turut diiktiraf oleh Islam. Kecuali kumpulan yang tidak diiktiraf Islam ialah ‘Nabi’ selepas Nabi Isa, termasuk penulis Bible yang digelar sebagai ‘Prophet’ oleh mereka. Apabila mereka didedahkan dengan maklumat ini, maka ianya boleh menyebabkan mereka ingin tahu apa yang dikatakan Al-Quran mengenai Nabi Isa dan menjadi satu titik tolak bagi mereka untuk mendampingi Al-Quran.